Adakah mudah untuk kita mengambil langkah ini?
"Perniagaan tidak menjanjikan kejayaan!" kata-kata yang acap kali kita dengar apabila soalan cepumas ini diarahkan pada mana-mana usahawan.
Apakah persediaan yang boleh kita lakukan sebelum mengambil langkah ini?
Bro baru-baru ini ada menerima artikel menarik Irfan Khairi dari newsletter RahsiaInternet.com bertajuk "Dari Kerja Makan Gaji, Menjadi Pemilik Perniagaan". Di sini ingin Bro kongsi bersama tips Irfan Khairi dalam persediaan untuk mengambil langkah tersebut:
Berikut adalah 4 tips persiapan anda sekiranya anda kini bekerja makan gaji dan merancang untuk memulakan perniagaan yang berkaitan.
1: Lakukan penyelidikan
Sementara mengumpul ilmu dan pengalaman ketika kerja, pelajari mengenai industri anda. Rujuk dan lakukan penyelidikan tentang industri anda dengan membaca majalah yang berkaitan, melungsuri Internet dan juga membaca buku-buku yang berkaitan dengan industri anda.
Ilmu yang anda kumpulkan bukan sahaja akan memantapkan anda di tempat kerja, ia juga akan banyak membantu apabila anda memulakan perniagaan kelak. Sering kali terjadi, apabila ilmu anda bertambah dan pengalaman bertambah, ia menyebabkan gaji anda juga bertambah ketika kerja makan gaji!
Selidik bidang yang anda ingin ceburi sebelum anda membelanjakan apa-apa modal untuk memulakan perniagaan tersebut. Penyelidikan pada masa masih bekerja adalah amat penting supaya ia menyediakan kita sebelum melangkah ke dunia perniagaan yang tidak memberi pulangan yang tetap!
2: Prinsip 10/90
Ianya dikatakan, sekiranya anda mengambil masa 10% untuk menyelidik dan mendalami perniagaan yang bakal anda lakukan, anda akan menjimat 90% masa dan wang yang mungkin anda kehilangan ketika memulakan perniagaan!
Saya pernah bertanyakan kepada jutawan Azizi Ali, pernahkah beliau melakukan kesilapan dalam perniagaan? Jawabnya pernah! pada awal penglibatannya dalam perniagaan, beliau memulakan kedai muzik oleh kerana minatnya dalam muzik.
Tetapi, perniagaan tersebut gagal! oleh kerana, beliau tidak melakukan "homework" dalam bidang "perniagaan berbentuk muzik"
Tidak semestinya sekiranya anda mempunyai kepakaran atau minat dalam sesuatu bidang, ia adalah resepi kejayaan perniagaan tersebut. Ia hanyalah satu permulaan oleh kerana anda masih perlu mempelajari selok belok sesuatu perniagaan itu.
Luangkan 10% daripada masa anda untuk lakukan "homework" supaya anda dapat menjimat 90% masa dan modal perniagaan anda!
3: Cari masalah dan selesaikannya
Ketika bekerja makan gaji, mungkin anda ketemui beberapa masalah daripada pelanggan yang tidak dapat dipenuhi tempat kerja anda.
Sering ingat apabila ingin memulakan perniagaan bahawa, "perniagaan adalah penyelesaian kepada masalah"
Pengalaman yang anda ceburi akan mendedahkan anda kepada berbagai masalah. Masalah tersebutlah yang akan menjadi satu peluang perniagaan untuk anda.
Contohnya, sekiranya anda seorang guru sekolah, mungkin anda terjumpa masalah bahawa sesetengah pelajar memerlukan cara pendekatan mengajar yang lebih unik. Anda boleh mencipta cara pendekatan mengajar tersebut dan mulakan kelas bimbingan untuk pelajar-pelajar yang memerlukannya.
4: Bootstrap
Kaedah memulakan perniagaan kegemaran saya adalah bootstrap- iaitu, memulakan perniagaan kecil menggunakan wang sendiri, kemudian, perbesarkan perniagaan tersebut dengan keuntungan yang diperolehi.
Anda memerlukan modal untuk memulakan perniagaan. Kerja makan gaji anda kini merupakan satu platform untuk mengumpul modal.
Apabila cukup wang, anda boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan dahulu. Ini akan memberi pengalaman kepada anda sedikit demi sedikit dalam mengembangkan perniagaan.
Mulai sekarang, lakukan simpanan khas untuk dana memulakan perniagaan anda. Wang ini adalah bertujuan khusus untuk memulakan perniagaan, dan bukan untuk simpanan peribadi. Anda perlu sentiasa berhati-hati dan mengumpul seberapa banyak ilmu perniagaan yang boleh oleh kerana, tanpa ilmu perniagaan yang betul, bukan sahaja wang simpanan anda dari makan gaji akan rugi, tetapi juga masa yang anda telah luangkan ketika makan gaji untuk mengumpulkan wang tersebut juga akan rugi!
Hanya satu sahaja cara untuk mencapai kejayaan- iaitu mencuba. 9/10 rezeki datangnya dari perniagaan, sekiranya anda bersedia dalam semua aspek, maka, apa kata anda cuba melibatkan diri anda dalam perniagaan.
http://www.rahsiainternet.com